CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, March 28, 2008

bersama keluarga...

Gambar ni gambar kenangan semasa aku , kakak dan abang ipar serta anak saudara pergi ke Taman Botani Putrajaya . Kitaorang sewa basikal, sebab nak tengok pokok-pokok yang ada dekat Taman Botani tu. Setelah kami ronda-ronda satu taman, sempat pula ambil gambar. Ehe... yang baju coklat, tulah aku... Ehe..
Sebenarnya, aku dah lama tak menunggang basikal. tapi nasib baik lah hari tu boleh juga bawak. Kalau tak... kempunanlah aku nak tengok pokok-pokok dekat Taman Botani, Putrajaya ni...

Thursday, March 27, 2008

Gambar

Gambar ni aku ambil depan dewan besar, upm. Waktu tu aku baru lepas habis peperiksaan.

Alhamdulilah... nasib aku dapat jawab... tak sia-sia tidur sampai pukul 3 pagi ehe...

Kalau tengok muka aku ni ada macam budak sekolah tak? ehe... kawan-kawan aku cakap muka aku macam budak sekolah, umur 17 tahun. Tingkatan lima.

Tapi takpe, aku tahu umur aku dah 23 tahun. Waktu beginilah aku mesti belajar dan terus berusaha. Berusaha majukan diri sendiri. Berusaha balas jasa orang tua...

Kawan sebilik, kawan sekuliah...



Ni pun kawan baik aku masa dekat upm, nama dia Daing Diana.... sedapkan nama dia. Dia ni ada keturunan Bugis, sebab tulah dia ada gelaran Daing tu... Dia pun cantik. Ramai peminat dia ni... Sepanjang aku belajar kat upm, ramailah jejaka-jejaka yang nak memikat dia. Tapi dia tak nak, sebab dia dah ada yang punya... ehe..

Kalau nak tahu, dia ni sebilik dengan aku..kitaorang dah macam adik beradik. Kadang kadang makan nasi sepinggan sama-sama. Pergi kelas pun sama-sama. Aku suka kawan dengan dia ni sebab dia rajin.. ehe.. bila tengok dia belajar,
aku pun nak belajar juga...

Harap-harap bila aku habis belajar nanti, dia jangan lah lupakan aku pula... Yalah masing-masing dah mencari haluan masing-masing... tapi aku berdoa semoga kitaorang dapat saling ingat mengingati di antara satu sama lain. Mungkin, kalau aku sambung belajar Master aku boleh jumpa dia lagi....

Memori di Sungai Bil Perak...


Gambar nilah... kenangan aku masa pergi Sungai Bil kat Tanjung Malim Perak... Alhamdulillah kuranglah sedikit tekanan belajar aku bila terdengar derauan air, melihat air sungai yang begitu tenang ni... teringat aku masa zaman kanak-kanak. Kami sekeluarga selalu pergi berkelah dan mandi manda di Mersing.

Ahli keluarga aku tak ramai. Jadi apabila berkumpul bersama-sama terasa sangat gembira... Tu dululah masa kanak-kanak, pantang nampak air sungai nak mandi je.. mak aku sampai letih kena melayan karenah aku seorang. Maklumlah anak bongsu... ehe..ehe..kakak- kakak aku semua dah besar-besar.. apa lagi aku ambil kesempatanlah nak manja-manja... jangan ngada-ngada sudah... ehe...

Masa di sungai Bil ni aku pergi bersama dengan rakan sekelas aku merangkap juga kawan baik aku masa di upm... diana , aya, adam , bali... ehe..seronok juga... bila dapat habiskan masa bersama kawan-kawan...

Suka duka di sini



Kalau nak tahu.. inilah kawan baik aku dekat upm, Rohaya nama dia.. alamak... budak ni syok sendiri pulak bergambar....


Aku ambil gambar ni masa kitaorang baru habis kelas. Buktinya... tengok buku yang dia pegang tu... Rajinnya si aya ni... pelajar terajin dekat upm ni...


Tapi selalu jugak dia ponteng kelas. Kadang-kadang dia ni pelik sikit, selalu tersalah masuk kelas.... ehe...ehe... tapi takpelah aku tetap suka kawan dengan dia. Masa masuk upm dulu, aku takda kawan... dia nilah yang nak berkawan dengan aku. Mungkin aku pendiam kot... sebab tulah orang mungkin takut nak tegur-tegur aku... ehe.. takpelah... asalkan rohaya ni ada aku ada semangat nak belajar...

Khasiat warna-warni sayuran



Lobak
kumpulan Jingga

Beta-karotene adalah sejenis karotenoid yang menyebabkan lobak merah jingga. Ia banyak dijumpai di dalam makanan berwarna jingga. Badan kita mampu menukar beta-karotene kepada Vitamin A jika diperlukan.


Beta-karotene bertindak sebagai agen anti-oksidan yang membantu melindungi badan kita dari kebanyakan jenis kanser dan penyakit jantung, bahkan ia juga mampu memperlahankan kemaraan penyakit-penyakit mata seperti katarak dan macular degeneration atau kemerosotan macular dari merebak. Lobak, buah labu, mempelam dan buah aprikot adalah sebahagian contoh kumpulan makanan berwarna jingga.



Selain daripada mengandungi beta-koratene, kumpulan makanan berwarna jingga ini mengandungi vitamin dan mineral lain yang memainkan peranan dalam mempertingkatkan tahap kesihatan kita. Sebagai contoh, buah labu merupakan sumber Vitamin B6. Selain itu sahaja, sayur-sayuran hijau seperti bayam mengandungi beta-karotene. Warna jingga beta-karotene dilitupi oleh warna hijau klorofil

Sayuran warna merah



Merah
Buah tomato


Kumpulan Makanan MERAH Lycopene merupakan karotenoid yang bertanggungjawab terhadap warna merah tomato. Walau bagaimanapun, kandungan lycopene dalam tomato akan hanya meningkat ketika buah berada dalam keadaan matang (tomato akan menjadi lebih merah) dan perbezaan akan lebih jelas kelihatan pada pelbagai jenis tomato. Sebagai contoh, tomato merah mempunyai kandungan lycopene yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan tomato kuning.


Lycopene bertindak sebagai ajen anti-oksidan yang mampu mambantu badan menyerap radikal bebas dan juga membaiki sel-sel badan yang telah rosak. Di samping itu lycopene mampu menyahkan toksin yang boleh menyebabkan penghasilan sel-sel barah. Kumpulan makanan merah adalah seperti tomato, tembikai, lada merah, limau gedang merah jambu dan merah. Kumpulan makanan ini juga mengandungi vitamin dan mineral yang lain selain daripada lycopene. Biarpun begitu ada sesetengah buah-buahan yang mengandungi lycopene tidak berwarna merah seperti buah jambu batu. Kandungan lycopene di dalam buah jambu batu adalah rendah.


Monday, March 17, 2008

Ibnu Sina





Tentang Ilmuan Islam "Ibnu Sina"


Nama beliau yang sebenarnya ialah Abu Ali Hussin bin Abdullah bin Hassan bin Ali bin Abi Sina.Beliau dilahirkan pada tahun 424 Hijrah, bersamaan dengan tahun 980M di Bukhara, Turkistan.Di negara-negara barat, beliau dikenali dengan nama 'Avicenna .'


Beliau mempunyai peribadi yang mulia serta memiliki akal yang cerdas dan tekun ketika menuntut ilmu. Beliau meninggal dunia pada tahun 1037M bersamaan dengan tahun 483 Hijrah.


Pendidikan


Ibnu Sina mendapat pendidikan awal di Bukhara. Beliau mendapat ilmu pengetahuan sejak berumur lima tahun. Ilmu asas yang di pelajari beliau ialah ilmu tafsir, Al-Quran, fkah, usuluddin, tasawuf, dan bidang ilmu yang lain. Gurunya yang pertama ialah Abu Abdullah An-Nafia. Beliau telah hafaz Al-Quran ketika berusia sepuluh tahun.


Selain daripada ilmu asas, beliau mempelajari ilmu lain seperti ilmu mantik, matematik, geografi, sains, fizik dan astronomi. Beliau memperoleh ilmu kedoktoran daripada Ibnu Yahya dan mendapat menguasai ilmu tersebut ketika berusia 17 tahun.
Hasil usaha yang bersungguh-sungguh dalam masa setahun, beliau berjaya menghasilkan sebuah kitab yang berkaitan dengan ilmu perubatan, iaitu Al-Qanun Fit-Tibb. Kitab ini mahsyur di timur dan barat.



Sumbangan dalam bidang ilmu



Beliau menghasilkan karya yang paling berpengaruh di Eropah yang bertajuk Al-Qanun Fit-Tibb yang membicarakan perihal perubatan secara spekulatif dan praktis.
Perubatan secara spekulatif bermaksud membincangkan prinsip-prinsip asas mengenai kosmologi, psikologi, dan metafizika. Beliau juga menghasilkan buku dalam bidang undang-undang, tafsir, falsafah, dan astronomi. Beliau pakar dalam bidang perubatan mengenai penyakit lumpuh, paru-paru, usus, dan penyakit kulit.


Dalam bidang falsafah, beliau telah menghasilkan beberapa karangan yang bermutu tinggi dan yang terkenal, iaitu As-Syfa'Fil-Hikmah. Beliau juga banyak membuat analisis tentang pelbagai jenis penyakit dan menyenaraikan tidak kurang 760 jenis penyakit beserta kaedah untuk mengubatinya.



Tokoh Ilmuan Islam " Ibnu Rusyd"


Ibnu Rusyd

Nama beliau yang sebenarnya ialah Abu Al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad Ibnu Rusyd Al-Qadhi Al-Qurtubi.
Beliau dilahirkan pada tahun 1126M bersamaan dengan tahun 520 Hijrah di Qurtabah (Cordova). Di negara-negara barat, Ibnu Rusyd dikenali sebagai ' Averroes ' dan fahaman atau pemikiran beliau dikenali sebagai ' Averroism .' Beliau mempunyai keistimewaan yang diberikan Allah S.W.T. diantaranya menghafaz Al-Quran dalam usia masih muda iaitu berusia 12 tahun.
Beliau juga sifat keperibadian yang begitu tinggi.


Pendidikan

Pada peringkat awalnya, beliau mendapat pendidikan daripada bapanya di rumah. Oleh kerana keistimewaannya memiliki akal fikiran yang baik, ketika berusia 12 tahun beliau telah mempelajari ilmu falsafah. Beliau mendapat pengajaran dan pendidikan daripada datuknya yang merupakan pakar dalam undang-undang Mazhab Maliki.

Selepas itu, beliau menyambung pelajaran dalam bidang sains, matematik, perubatan, astronomi, dan falsafah. Beliau telah menghafaz kitab Al-Muattok karangan Imam Malik.
Beliau mempelajari ilmu perundangan daripada pakar undang-undang Mazhab Maliki, Ilmu Usuluddin daripada ulama 'Isyarah dan falsafah daripada filosot-filosot besar di Qurtubah (Cordova) termasuk Ibnu Rajah (Ibnu Majah) yang lebih dikenali dengan nama ' Avempace' di barat.


Sumbangan

Ibnu Rusyd merupakan seorang ahli falsafah Islam yang telah menyumbangkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan kepada manusia pada waktu itu dan zaman selepasnya dalam bidang falsafah, psikologi, pentadbiran, perubatan, dan kehakiman. Hasil-hasil karya beliau dalam tersebut menjadi rujukan kepada universiti-universiti di kebanyakan negara Islam dan Eropah.

Selain daripada buku-buku dan risalah-risalah, Ibnu rusyd banyak juga meninggalkan kata-kata hikmat sebagai panduan dan renungan untuk kita semua, seperti:


" Pemerintahan yang adil ialah untuk kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan diri "
" Keadilan sendi kekuasaan dan kedaulatan, kezaliman adalah bencana besar pemerintahan."
" Pemerintahan yang jahat ialah pemerintahan teokrasi yang dipimpin oleh kaum pendeta "
" Lelaki dan wanita sama dalam naluri dan kekuatan walaupun ada perbezaan dalam
beberapa lapangan

Antologi Puisi " Rindu Seorang Salina"



Judul : Rindu Seorang Salina
Penyelenggara : Lim Swee Tin & Radziah Hassan
Penerbit : Citra Kurnia Enterprise
Mukasurat : 102 halaman
Cetakan Pertama : 2003



Kumpulan puisi ini merupakan hasil karya pelajar yang mengikuti Kursus BBK 3406 : Penulisan Puisi dan Drama di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, bagi Semester Mei 2003/04.


Meneliti karya-karya dalam antologi ini, rata-rata menunjukkan kesungguhan pelajar dalam berkarya. Puisi berjudul 'Rindu Seorang Salina' yang dijadikan judul antologi ini, misalnya merupakan sebuah puisi yang mantap; baik dari segi idea mahupun cara pemakaian bahasanya. Rangkap kedua misalnya, yang berbunyi;
Kamar hening ini membalut sebuah kisah seorang gadis desa betapa pelangi hidup bertukar warna menunjukkan mutu penggarapan yang meyakinkan. Diyakini bahawa pelajar yang menyumbangkan karya mereka dalam antologi ini akan dapat pergi lebih jauh dalam bidang penulisan kreatif .




Pandangan saya:


Kumpulan puisi berjudul Rindu Seorang Salina ini merupakan buku yang diselenggarakan oleh Lim Swee Tin dan Radziah Hassan. Buku ini merupakan karya mahasiswa dan mahasiswi Universiti Putra Malaysia. Karya yang dihasilkan oleh mereka ini telah diterbitkan. Terdapat juga buku antologi puisi yang juga merupakan hasil nukilan pelajar-pelajar di Universiti Putra Malaysia. Buku itu bertajuk " Bisik Pada Angin" yang telah diterbitkan pada tahun 2005

Thursday, March 6, 2008

Johor " Syurga Pekerjaan"


Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ketika membentangkan Bajet Negeri Johor 2008 di Persidangan Dewan Negeri pada 15 November lalu berkata ekonomi negeri ini berkembang pada kadar 6.2 peratus pada suku tahun pertama. Kadar perkembangan yang memberangsangkan itu didorong oleh dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan yang menjadi teras utama ekonomi negeri di selatan tanah air itu.

Menurut laporan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida) pula, sejumlah 125 projek perkilangan baru yang diluluskan di Johor sehingga Ogos tahun lalu dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.07 bilion, sekali gus menyediakan sebanyak 20,422 peluang pekerjaan. Melihat kepada fakta ini, tidak hairanlah mengapa Johor kini menjadi ‘syurga’ kepada pemburu pekerjaan yang memiliki pelbagai taraf kelayakan akademik dari dalam dan luar negara.
Kewujudan peluang kerja yang banyak ini mendorong individu dari segenap pelosok tanah air dan negara luar memasuki negeri ini dan tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

Maka atas dasar itu jugalah Thian Vien Nong, 24, dari Vietnam sanggup datang dari kampung halamannya yang terletak beribu batu di utara negara ini untuk bekerja di sektor perkilangan di Kawasan Perindustrian Tebrau. Thian adalah antara ribuan lelaki dan wanita warga asing yang datang mencari sesuap nasi dengan memanfaat peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh pelabur asing dan tempatan yang beroperasi di kawasan perindustrian berkenaan."Gaji yang ditawarkan di sini boleh dikatakan agak lumayan dan lebih daripada keluarga di kampung."Walaupun saya mempunyai segulung ijazah, namun gaji yang mungkin saya peroleh di Vietnam tidak sebanyak yang saya dapat di sini kerana biarpun dengan bekerja di kilang, ia jauh lebih lumayan daripada apa yang saya dapat di sana," katanya.

PENDAPAT SAYA:


Pada pendapat saya, negeri Johor semakin berkembang maju dan tidak hairan Johor menjadi pusat untuk mencari sumber rezeki kepada semua masyarakat. Tidak lupa juga kepada rakyat asing yang sanggup datang ke Johor demi mencari rezeki untuk keluarga di negara mereka. Buktinya dapat kita lihat Thian Vien Nong sanggup berhijrah ke Johor untuk menyara hidup dia dan keluarga .


Masalah tatabahasa dalam kalangan pelajar-pelajar di Malaysia



Setiap bahasa mempunyai peraturan bahasa atau tatabahasa yang tersendiri. Peraturan tersebut perlu dikuasai oleh pengguna bahasa untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa dengan betul bagi menyampaikan idea. Dalam konteks bahasa Melayu, aspek tatabahasa bahasa Melayu, khususnya, mula diperkenalkan kepada pelajar ketika mereka berada di sekolah rendah lagi.
Perkara yang sama diulang dan diperluas di sekolah menengah. Ringkasnya, setiap pelajar sudah pun mempelajari tatabahasa bahasa Melayu tidak kurang daripada 10 tahun sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Namun, amat malang sekali apabila kenyataan membuktikan bahawa majoriti pelajar tidak menguasai tatabahasa bahasa kebangsaan kita dengan baik sehinggalah mereka meninggalkan alam persekolahan.

Kegagalan pelajar menguasai aspek ini dapat dikesan dengan mudah apabila karangan atau latihan bertulis pelajar dirujuki. Kelemahan tersebut pasti lebih ketara dalam perbualan mereka sehari-hari. Antara aspek asas tatabahasa yang hampir pasti digunakan dalam setiap penulisan, khususnya karangan dan sering pula terdapat kesalahan, termasuklah ketidaktepatan penggunaan kata sendi nama, kegagalan mematuhi hukum D-M, penggunaan imbuhan yang salah, dan binaan ayat yang tidak gramatis.



Pendapat saya :

Pada pendapat saya, Pelajar-pelajar kita di Malaysia masih tidak dapat menguasai tatabahasa dengan baik. Kelemahan mereka boleh dilihat melalui karangan dan gaya percakapan mereka. Jika dilihat para remaja sekarang lebih suka menggunakan bahasa slanga untuk berkomunikasi. Bahasa Slanga ini bukan sahaja membawa kesan negatif kepada bahasa malah mencemarkan kebaikan dan kesempurnaan bahasa Melayu itu sendiri.





Wednesday, March 5, 2008

Definisi Ringkas Puisi














Definisi Za'ba.

Za'ba menggunakan istilah "karangan berangkap" untuk puisi. Karangan yang digunakan untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.




Definisi Ringkas Pantun



Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati dan digunakan untuk mengambarkan pelbagai keadaan dan kegunaan seperti melahirkan perasaan sedih, gembira, rindu, berkasih dan memberi nasihat. Pantun juga boleh diguna secara berbalas-balasan di majlis seperti peminangan, perkahwinan dan di dalam rancangan radio. Pantun juga boleh dinyanyikan seperti mana lagu Rasa Sayang, Sri Mersing dan lain-lain. Pantun juga dibaca sebagai mentera dalam sesetengah jampi serapah yang diamalkan oleh pawang dan dukun dalam perubatan tradisional.




Pantun Berkasih




Dihinggap api habis rentung
Kayu alang atapnya ijuk
Buah hati pengarang jantung
Kalau meradang payah dipujuk


Tunduk malu tidak biasa
Bunga Melati jadi tumpuan
Sehari berlalu setahun terasa
Rindu di hati padamu puan

Ikan batu di atas bara
Pohon selasih di tepi kota
Fikiran buntu badan sengsara
Bila kekasih tiada dimata


Rumah dikota sangatlah bersih
Tempat bermain orang kaya
Bertentang mata berasa kasih
Jumpa yang lain lupakan saya

Pokok selasih pokok bayam
Dalam kepuk buah berangan
Seorang kasih seorang sayang
Tidak bertepuk sebelah tangan

Tinggi-tinggi burung merbuk
Terbang melayang ketanah rata
Hati teringat mulut menyebut
Wajah terbayang di depan mata


Pendapat saya :


Pantun Berkasih ini merupakan sebuah pantun yang menceritakan tentang kehidupan orang yang sedang bercinta dan berkasih. Pantun ini juga, mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi.

Tuesday, March 4, 2008

Pantun Nasihat



Beli sekayu kain kasa
Cukup diukur dengan lerengnya
Bangsa Melayu menjaga bahasa
Lengkap dengan sopan adabnya

Menanggung dosa itu berat
Walaupun pada orang yang alim
Wajib manusia menutup aurat
Terutamanya pada wanita muslim

Di tepi kali saya menyinggah
Menghilang penat menahan jerat
Orang tua jangan disanggah
Agar selamat dunia akhirat

Buah berangan buah bidara
Ranting tersangkut di hadapan pintu
Bersubang ku sangka dara
Bermisai berjanggut kenapa begitu

Burung didik terbang di awan
Muda belia menangkap ikan
Baik-baik bila berkawan
Akhlak mulia mesti diutamakan

Fitnah itu tiada ampunnya
Kerana dosa sesama manusia
Mulut celupar mudah luahnya
Janganlah dibuat kerja sia-sia

Pendapat saya:

Pada pendapat saya, pantun nasihat ini wajar diterapkan kepada semua masyarakat. Pantun nasihat ini bukan sahaja memberi impak yang positif malah mengandungi nilai-nilai moral dan pengajaran yang tinggi kepada semua golongan, tidak kira golongan remaja, dewasa mahupun golongan kanak-kanak.

Pantun Jenaka



Api terang banyak kelkatu
Masuk ke kamar bersesak-sesak
Alangkah geli rasa hatiku
Melihat nenek bergincu berbedak

Ditiup angin bunga semalu
Kuncup daun bila berlaga
Bercakap Melayu kononnya malu
Belacan setongkol dibedal juga

Orang Rengat menanam betik
Betik disiram air berlinang
Hilang semangat penghulu itik
Melihat ayam lumba berenang

Tanam jerangau di bukit tinggi
Mati dipijak anak badak
Melihat sang bangau sakit gigi
Gelak terbahak penghulu katak

Singapura dilanggar todak
Kapal karam di Tanjung Peringin
Orang tua beristerikan budak
Macam beruk mendapat cermin

Bapa gergasi menebar jala
Pegang tali melintuk-liuk
Masakan pengerusi tak garu kepala
Melihat ahli semua mengantuk


Gemuruh tabuh bukan kepalang
Diasah lembing berkilat-kilat
Gementar tubuh harimau belang
Nampak kambing pandai bersilat

Buah salak di rumah Tok Imam
Sirih sekapur pergi menjala
Anjing menyalak harimau demam
Kucing di dapur pening kepala

Pendapat saya :
Pada pandangan saya, pantun berunsurkan jenaka ini merupakan sesuatu yang indah. Setiap perkataan yang disusun mengandungi kata-kata jenaka yang pastinya dapat menghiburkan sesiapa jua yang membacanya.

Sajak "Anak Kampung"




Aku hanya anak kampung
Dilahirkan di teratak buruk ini
Dapurnya penuh dedebu
Lantainya basah dek tempias hujan
Dindingnya reput dimakan anai

Aku hanya anak kampung
Tak pernah kenal erti kemewahan
Tak sekali merasa pakaian baru
Hanya baju lusuh ini
Bertampalkan sisa perca

Aku hanya anak kampung
Tak terjamah aku makanan yang enak
Hanya garam kasar kutaburkan
Ke bubur cair mengalas perut
Hanya air jernih pencuci mulut

Aku hanya anak kampung
Berenang dilautan kesusahan
Namun aku akan terus berenang
Meredah ombak dan badai
Agar tidak lemas dilautan itu
Nukilan: Nurain




Sajak yang dikarang oleh saya sendiri ini merupakan, sebuah sajak yang mengisahkan tentang kehidupan seorang anak kampung yang hidupnya penuh dengan kesusahan dan kesulitan. Namun dia cuba berusaha untuk keluar daripada terus hidup dalam kesusahan tanpa mengenal erti putus asa. Sajak ini merupakan sajak pertama saya dan telah dimuatkan di dalam buku " Daerah Perjuangan".

Antologi Puisi



Judul : Bisik Pada Angin
Penyelenggara : Lim Swee Tin
Penerbit : Citra Kurnia Enterprise
Genre : Antologi Puisi
Mukasurat : 62 halaman
Cetakan Pertama : 2005
ISBN : 9834146949


Antologi puisi yang berjudul Bisik Pada Angin memuatkan lima puluh lapan buah sajak hasil karya pelajar yang mengikuti kursus BBK 3406: Penulisan Puisi dan Drama yang dikendalikan oleh Encik Lim Swee Tin. Sajak-sajak yang dihasilkan ini merupakan manifestasi kebolehan dan kemampuan pelajar memahami, menanggapi dan mengaplikasikan pengetahuan teori yang diperoleh mereka dalam bentuk penghasilan karya kreatif.


Namun demikian, semua ini tidak akan menjadi realiti jika pelajar tidak mempunyai sensitiviti, persepsi dan kemampuan mengolah dan mengadunkannya dengan imaginasi dan kreativiti. Sesuai dengan lingkungan persekitaran dan peringkat usia, tema dan persoalan yang digarap oleh para pelajar dalam kebanyakan puisi yang dihasilkan oleh mereka lebih tertumpu kepada persoalan cinta, kasih sayang, sanjungan, dan persoalan kehidupan yang masih berkisar dalam ikatan kekeluargaan, teman rapat, dan sanjungannya kepada Allah s.w.t. Persoalan cinta begitu jelas diungkapkan bukan sahaja dapat kita fahami melalui kandungannya, malah terus dapat diselami maksudnya


Pandangan saya :

Buku ini merupakan sebuah buku yang penuh dengan pelbagai cerita, idea, dan pemikiran. Semuanya ini merupakan hasil usaha pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia yang telah membuktikan kepada kita, mereka mampu untuk menulis puisi. Segala pengajaran pensyarah telah dipraktikkan melalui buku yang bertajuk "Bisik pada angin ini". Bagi saya, ini merupakan langkah yang bijak untuk menyerlahkan lagi bakat menulis puisi dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di negara kita.

Novel "Ranjau Sepanjang Jalan"


Judul : Ranjau Sepanjang Jalan
Pengarang : Shahnon Ahmad
Penerbit : Alaf 21
Genre : Novel
Mukasurat : 341 halaman
Cetakan Pertama : 2006
ISBN : 983124236x
-Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T-
Sebagai anak tani, itulah pegangan Lahuma dan keluarganya sejak zaman nenek moyang. Apa sahaja kurniaan ILAHI, mereka tetap menerima dengan penuh kesyukuran. Sawah bendang, padi dan nasi serta bencana alam begitu sinonim dalam hidup Lahuma sekeluarga. Meski dugaan sering melanda, namun mereka tetap mengharunginya dengan segenap tenaga yang ada.
- Lahuma dijemput menghadap ILAHI -
Hidup mesti diteruskan! Tugas Lahuma perlu dipikul oleh Jeha dan anak-anaknya. Mereka tidak harus mati kelaparan. sawah padi perlu menguning. Hujan lebat, banjir besar dan kedatangan ketam serta burung tiak yang menjahanamkan padi perlu ditentang. Berbekalkan doa dan usaha, mereka nekad... tiada apa yang dapat menghalang perjalanan hidup ini.
Ranjau Sepanjang Jalan... jerit perih keluarga tani ini adalah kehendak Yang Maha Kuasa. Sebuah karya nostalgik Shahnon Ahmad yang membawa kita mendalami erti kasih sayang, kekuatan, kegigihan, ketabahan dan perjuangan
.
Pendapat saya:
Novel "Ranjau sepanjang Jalan ini merupakan sebuah novel yang mengandungi nilai estetika atau nilai keindahan yang tinggi. Lakaran sebuah kisah hidup masyarakat yang begitu tabah dan sabar dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran tergambar menerusi novel ini.
Walaupun kehidupan Lahuma dan keluarganya melalui hari-hari yang penuh kesukaran dan menghadapi cabaran dalam pertanian sawah padi, namun mereka masih lagi mampu berpegang kuat kepada ajaran agama iaitu agama Islam. Mereka berdoa dan berserah kepada qada dan qadar dalam menjalani kehidupan mereka.Bagi saya, novel ini sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat kerana novel ini mengandungi pelbagai nilai murni malah isi kandungannya juga bernas dan berfaedah.